Friday, 30 September 2022

Abah Perlu Ditidurkan

     Lepas je tengok abah dibawa pergi, kita semua balik dan buat kuarintin kendiri sementara tunggu panggilan untuk swab test. Malamnya pihak hospital call bagitau keadaan abah. Doktor cakap abah dah betul-betul. Oksigen dah betul-betul kurang dan doktor mintak izin kalau apa-apa berlaku boleh tak doktor nak tidurkan abah. Ya Allah, tak semua orang terima perkataan 'ditidurkan'. Ramai yang dah dimomokkan dengan perkataan 'ditidurkan' tu. Memang betul itu hanyalah istilah perubatan supaya orang senang faham. Kami pun faham.

    Ayong dan ahli keluarga yang lain semuanya setuju supaya abah ditidurkan. Tapi doktor cakap apa-apapun doktor akan ikut kehendak pesakit jika pesakit tu masih waras. Sekalipun semua ahli keluarga bersetuju tapi jika pesakit tak setuju, doktor tetap takkan buat. Melainkan kalau pesakit tu tak waras baru doktor akan ikut cakap warisnya. Apapun ini adalah keizinan awal jika apa-apa berlaku. Mengikut kata doktor, keadaan abah memang perlu ditidurkan tapi abah masih nak bertahan. Banyak kali doktor tanya tapi abah tetap dengan pendirian dia.

    Esoknya kami sekeluarga buat swab test secara pandu lalu di klinik kesihatan. Sementara nak tunggu giliran dalam kereta, sekali lagi pihak hospital call. Kata doktor pihak hospital dah tak boleh buat apa-apa. Sepatutnya abah memang perlu 'ditidurkan' malam tadi tapi abah berkeras menolak. Doktor bagitau lagi sekiranya keadaan abah lepas ni ke tahap yang lebih kritikal, doktor dah tak boleh buat apa-apa. Doktor dah tak boleh nak bantu sebab waktu tu apa-apa bantuan dikira terlambat dah boleh menyebabkan kecederaan pada organ dalaman abah.

    Allahuakbar! Abah! Tiada lah daya dan upaya kami, melainkan dengan pertolongan-Mu ya Allah. Abah. Otak masa ni dah tak boleh proses dah. Cuma fikir nak abah selamat je. Kami bagitau doktor tak boleh ke kalau ahli keluarga yang buat keputusan untuk abah. Doktor tegaskan tak boleh sebab abah masih waras. Doktor bagitau lagi sebenarnya pihak mereka dan beberapa kali juga tegaskan pada abah supaya 'ditidurkan' tapi abah melarang doktor buat macam tu kat dia. Apa-apa risiko pesakit yang tanggung.

    Akhirnya kami sekeluarga akur dan menghormati keputusan abah. Betul kata doktor, apa-apa berlaku, segala kesengsaraan dan penderitaan yang dilalui abah yang tanggung sendiri dan kami tiada hak untuk memaksa. Ini perjuangan abah. Ayong pernah cerita masa abah kritikal dulu, keadaan yang hampir serupa sewaktu doktor maklumkan keadaan abah. Kami sekeluarga memang dah tahu abah memang takkan setuju dengan semua ni. Sebab tu la waktu tu awal-awal kami menolak sebab kami memang dah tahu pendirian abah. 

Saturday, 24 September 2022

Positif Covid-19

    Tahun 2021 adalah tahun di mana orang masih lagi mengambil berat isu covid-19. Masih lagi scan guna aplikasi MySejahtera dan masih lagi diwajibkan pakai face mask. Masa ni kebanyakkan orang dah ramai yang dapatkan vaksin untuk dos 1. Dalam keluarga Ayong semuanya dah lengkap dos 1. Ada sekali tu mak demam, batuk-batuk seminggu. Tak lama kemudian abah pulak batuk-batuk. Abah ada mengadu dia kadang-kadang macam susah nak bernafas. Malam tu kami bawak abah pergi klinik swasta dan doktor bagi ubat.

    Esoknya abah mengadu sakit lagi. Adik bawak abah pergi klinik kesihatan dan doktor sahkan abah positif covid-19. Allahuakbar! Abah dah la termasuk dalam golongan yang berisiko. Masa dapat tahu berita tu Ayong kerja. Ayong ingat lagi, Ayong nangis-nangis bagitau Penyelia pasal abah. Ada sorang anggota beruniform nampak Ayong nangis. Sempat dia pujuk Ayong. Dia baru kehilangan ayah dia beberapa bulan lepas, mungkin dia faham ketakutan Ayong. Lepas berkemas barang cepat-cepat Ayong balik dan pergi klinik tengok abah.

    Sampai je kat klinik terus cari bahagian pesakit covid. Abah kurang oksigen dan keadaan abah lemah sangat. Masa ni abah dah mula cakap merapu. Abah pesan kat adik lelaki supaya jaga keluarga baik-baik bila abah dah takde. Jangan lupa ziarah kubur abah nanti. Ya Allah, abah ni. Lepas beberapa jam ambulance sampai untuk bawak abah ke hospital. Masa ni Allah je tahu. Dah la waris tak boleh jaga untuk pesakit yang positif covid ni. Abah pulak lumpuh separuh badan. Takutnya rasa masa ni macam-macam dalam fikiran.

    Waktu ni mak, adik lelaki, Ayong dengan makcik sebelah abah. Mata masing-masing tengok je dari abah masuk ambulance sampai hilang dari pandangan. Abah dibawa pergi seorang diri dalam keadaan yang sangat lemah. Semua orang macam tak percaya dan betul-betul takut. Abah dah tak pakai handphone lagi sejak dia sakit 3 tahun lepas. Macam mana nak hubungi abah kalau nak cakap dengan abah. Allahu, beratnya rasa hati. Dalam fikiran masing-masing cuma fikir macam mana agaknya keadaan abah kat hospital tu.