Thursday, 12 May 2022

Abah Semakin Pulih


 Seminggu Dalam ICU

    Ayong tak ingat berapa lama dalam ICU. Tapi sekitar seminggu lebih jugak la abah dalam tu. Kami sekeluarga berulang setiap hari dari rumah di Nilai ke hospital Seremban sebab masih tak dibenarkan bermalam di hospital memandangkan masih dalam ICU. Untuk pelawat pun sebab cuma 2 orang je yang dibenarkan masuk ke dalam. Pihak hospital taknak ramai-ramai dalam tu dan Ayong rasa mana-mana hospital pun sama je. Abah Masa ni abah dah stabil cuma masih belum sedar sepenuhnya. Kami datang pun abah tidur saja.

    Tak putus-putus orang melawat abah. Setiap hari ada je yang datang. Salah seorang kawan abah ada nasihatkan adik lelaki supaya amalkan beberapa ayat dan doa yang mereka pernah belajar dulu. Sebenarnya adik lelaki selalu ikut abah pergi kuliah dan sebab itulah kawan-kawan abah boleh rapat dengan adik. Buku amalan tu memang ada kat rumah. Adik ada bagitau abah pernah ajar dia amalkan ayat dan doa tu. Setiap hari sebelum pelawat lain datang adik lelaki akan duduk sebelah abah sambil amalkan ayat dan doa tersebut tanpa jemu.


Jiran Sebelah

    Disebabkan adik terlalu kusyuk setiap hari bacakan doa sebelah abah, dia tak perasan rupanya waris katil sebelah selalu perhatikan dia. Seorang isteri yang setia di sisi suami, menunggu saatnya si suami yang telah lama koma membuka mata. Anak-anaknya masih kecil lagi. Ayong tak pasti berapa lama suami dia dalam ICU tapi yang pastinya memang dia lebih awal dari abah. Dia nampak keadaan abah yang semakin pulih lepas adik lelaki amalkan bacaaan doa dan beberapa ayat. Dia bertanyakan kepada adik mengenai amalan tersebut.

    Adik lelaki ada beritahu kami yang dia serba-salah nak bagi. Sebab amalan yang diamalkan tu sebenarnya bersanad. Siapa yang faham tentang sanad pasti akan faham maksudnya. Kata adik, dia boleh bacakan ayat tersebut pada pesakit tetapi tak boleh diberi keseluruhan kerana ianya bersanad. Tapi adik ada juga beri beberapa potong ayat dan doa yang dia amalkan pada abah. Namun Allah lebih mengetahui, suaminya meningggal dunia pada keesokkan harinya. Tak diketahui sama-ada si isteri sempat membacakan ayat yang diberikan.


Pindah Ke Wad

    Sekitar seminggu lebih abah dikeluarkan dari ICU dan ditempatkan di wad lain. Dalam wad tu pihak hospital membenarkan seorang waris untuk berada bersama pesakit. Masa ni mestilah mak yang setia bermalam di sisi katil abah sementara adik lelaki dan Ayong berulang-alik menggunakan KTM dan grabcar setiap pagi dan pulang pada sebelah petang. Kalau tak silap Ayong adik perempuan pernah bermalam satu kali di hospital. Kami memang tak galakkan dia tunggu abah memandangkan keadaannya yang sarat mengandungkan anak pertamanya. 

    Masa ni adik lelaki belum ada lesen lagi. Hanya mak saja yang boleh saja kereta. Kadang-kadang kami minta tolong ibu saudara sebelah abah jika ada keperluan yang perlu dibawa. Adik lelaki masih belajar dan lepas adik balik ke kampus mak la yang selalu bermalam di hospital. Hujung minggu Ayong pula gantikan tempat mak. Dalam seminggu hanya 2 kali saja Ayong bermalam. Adik lelaki nekad berhenti belajar. Sementara dalam proses berhenti dia ada juga bermalam di hospital, waktunya hujung minggu juga.

Friday, 6 May 2022

Abah Tiba-Tiba Stabil

Kasih-Sayang Allah

    Selesai je adik lelaki solat giliran Ayong pulak pergi ke surau. Doktor masih belum keluar untuk kami bagitau yang setuju lakukan apa saja untuk selamatkan abah. Ayong ke tingkat atas. Menunaikan solat Isyak dan solat hajat untuk kesembuhan abah. Ingat lagi tak Ayong pernah alami gangguan agnostik dan masih belum sembuh. Ayong hanya teruskan hidup macam biasa. Walaupun sering diganggu dan gagal temukan kebenaran tapi Ayong tak boleh hidup tanpa Tuhan. Ayong perlukan Tuhan dan pada waktu tu hanya Allah saja yang Ayong ada.

    Walaupun masih rasa sesak waktu solat, tapi waktu tu keadaan lebih sesak memikirkan tentang abah. Dengan sepenuh perasaan Ayong berdoa, selamatkan abah. Allah saja tempat Ayong mengadu. Kebetulan hanya Ayong seorang saja di surau waktu tu. Jadi ruang dan keadaan digunakan sepenuhnya. Merintih semahunya dan kalau Allah nak gantikan sakit tu pada Ayong pun, Ayong terima asalkan abah dapat diselamatkan. Baru semalam Ayong cium tangan abah dan melambai masa pergi kerja. Ayong tak bersedia nak kehilangan abah.

    Selesainya solat Ayong gunakan tangga untuk turun ke pintu depan ICU yang kedudukannya tak jauh dari tangga. Ayong nampak ada seorang doktor baru beredar beberapa langkah dari adik lelaki dan masuk ke ICU. Ayong tengok adik lelaki. Adik bagitau Ayong jangan berhenti berdoa. Dia sambung lagi sambil tangannya menunjuk ke arah pintu ICU,  doktor baru je masuk dalam. Doktor kata keadaan abah tadi tenat sangat dan baru je pihak doktor nak maklumkan abah perlukan alat bantuan pernafasan segera, tapi abah tiba-tiba stabil. 

    Betul-betul rasa macam keajaiban. Rasa macam itulah berita paling gembira yang kami semua pernah dengar seumur hidup. Satu perasaan yang tak dapat digambarkan dengan apa cara sekalipun. Syukur kepada Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang telah memakbulkan doa-doa kami. Terus bagitau keluarga dan saudara-mara abah mengenai keadaan keadaan abah yang dah kembali stabil. Tak dilupakan kawan-kawan baik abah juga dimaklumkan mengenai keadaan abah.

Dan Tuhanmu berfirman,

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” 

Surat Ghafir : Ayat 60



Pengawal Keselamatan Wanita

    Bila keadaan dah reda, Ayong dengan adik lelaki hanya duduk dan tidur di kerusi saja memandangkan dah jauh malam. Tak lama kemudian kami didekati seorang pengawal keselamatan wanita yang jaga depan ICU tu. Sebenarnya dia dah perhatikan kami lama dah. Dari dari awal masa ahli keluarga yang lain masih ada. Cuma dia tak tegur sebab dia dia nampak keadaan tak sesuai. Dia sekadar berbual. Bertanya tentang siapa di dalam dan bagaimana keadaanya. Sebenarnya dia dah tahu sedikit memandangkan dia bebas keluar masuk di situ.

    Dia ada cerita juga mengenai keadaan hospital.  Dia kata, komplikasi dan kesan sampingan tu tak semestinya akan berlaku. Tapi memang kewajipan seorang doktor untuk memaklumkan begitu kerana doktor adalah manusia biasa. Doktor hanya berusaha dan tak boleh beri jaminan 100% kerana selebihnya adalah kerja Allah. Maka sebab itulah doktor harus bagitau dengan cara sedemikian, menunjukkan ilmu perubatan tak mampu menandingi kehendak serta kekuasaan Allah. Barulah kami faham. Memang terbaik penerangan dia.

    Pengawal keselamatan tu pun ada memaklumkan yang dia dah tengok keadaan abah tadi. Semuanya baik-baik saja dan InshaAllah tak apa-apa. Dia sempat pesan supaya jaga kesihatan. Lepas tu dia ada cakap juga yang sebenarnya orang awam tak boleh berada di sini tapi disebabkan keadaan panik tadi maka dia biarkan saja kami menunggu. Mana taknya, bengkak gila mata masing-masing menangis dari tadi. Keesokkan harinya. kami sekeluarga bermalam berdekatan hospital saja. Pagi tu Ayong maklumkan pada boss untuk ambil cuti selama 2 hari.