Saturday, 12 March 2022

Ujian Ketika Solat

   Solat merupakan kewajipan bagi umat Islam. Solat juga salah satu cara untuk lebih dekat dengan Pencipta dan mampu memberi kedamaian hati pada mereka yang menunaikannya. Ketika solat dikatakan mampu memberi kedamaian kepada kita, berbeza pula dengan Ayong. Setiap kali menunaikan solat Ayong akan merasakan kesakitan dan kesengsaraan yang sehingga kini tidak tahu puncanya. Cuma yang Ayong tahu, bukan Ayong saja yang pernah merasainya. Kata mereka, ianya adalah gangguan cemas atau dipanggil Anxiety. Yang peliknya, kenapa berlaku setiap kali nak solat? Sehingga sekarang masih tiada jawapan. 

Tetap solat macam biasa


Sukar Bernafas

    Pernah tak melalui keadaan sukar untuk bernafas? Apa rasanya? Sesiapa saja yang pernah merasai kesengsaraan sukar bernafas pasti faham situasi begini. Nafas rasa terlalu pendek dan berat untuk mengambil nafas. Yang anehnya, sukar bernafas ni cuma dialami sewaktu sedang solat sahaja. Selesai saja solat, nafas kembali normal dan elok je boleh bernafas macam biasa. Aneh kan? Inilah salah satu punca Ayong menjadi Agnostik. Ayong tak tahu nak cerita kat sape. Sebab bila Ayong nak buka cerita, jawapan mereka cuma perasaan Ayong saja. Padahal rasa sukar bernafas tu bukan rasa macam hidung tersumbat. Tapi rasa macam nak mati pun ada. 


Semput & Keletihan

    Rasa sakit bermula setiap kali mengangkat takbir. Selesai saja "Allahuakbar" terus dada rasa sempit, semput dan sesak. Berkali Ayong tarik nafas sedalam yang boleh. Orang kata macam mengeluh sewaktu solat. Tapi hakikatnya Ayong mengambil nafas yang terasa pendek. Masa solat ni, rasa letihnya lain macam. Rasa macam pergi mendaki bukit pun tak letih macam tu. Rasa sukarnya solat waktu tu. Pernah beberapa kali Ayong berhenti di pertengahan solat sebab tak tahan. Berjuang menyedut nafas yang tersangkut waktu solat tu memang menyeksakan dan yang anehnya bila berhenti solat keadaan Ayong normal je macam tak sakit apa.


Sunday, 6 March 2022

Ujian Agnostik

2017


   Hidup memang tidak pernah sunyi dari ujian dan dugaan. Apa yang dilalui kita selepas ujian adalah ujian. Saat diuji, kita tak sedar pun bila ujian ni bermula. Tanpa kita sedar kaki yang melangkah luka berdarah dek terpijak duri di jalanan. Begitu juga Ayong, entah sejak bila datangnya kesakitan waktu menunaikan solat. Sering dapat mimipi yang pelik-pelik. Mimpi ni tentang keraguan dalam beragama. Ya, memang benar mimpi itu mainan tidur dan senjata syaitan untuk menyesatkan manusia. Tapi dengan gangguan dan kesakitan yang datang ketika sedar, apa lagi fikiran yang timbul melainkan keraguan pada agama sendiri?

    Bukan tak cuba perbaiki keadaan. Bertanya sudah, menghadiri majlis ilmu untuk lebih mengenal Pencipta juga sudah. Tapi bukannya makin baik malah makin keliru. Diuji dengan hal begini bukanlah perkara yang mudah. Kita bertanya kerana keliru, tapi bukan jawapan yang diterima malah persoalan dan kejian lagi yang datang. Mereka menganggap kekeliruan yang Ayong tanyakan adalah sengaja semata-mata untuk mempersoalkan kekuasaan Allah. Lalu pada siapa harus diluah kesakitan ni? Pada Sang Pencipta telah diluahkan sehabisnya namun akibatnya lebih sakit lagi. Kesakitan itulah yang menyebabkan Ayong menjadi seorang Agnostik.

    Untuk pengetahuan semua, Ayong jadi Agnostik bukan disebabkan tidak faham agama atau jauh dari agama. Ujian menjadi seorang Agnostik merupakan hal yang paling berat pernah Ayong lalui. Menjadi seorang Agnostik adalah hal yang tidak disengajakan disebabkan gangguan-gangguan yang Ayong alami secara sedar dan tidak sedar. Antara gangguan tersebut adalah :

  1. Ujian Ketika Solat
  2. Ujian Melalui Mimpi
  3. Ujian Pandangan Manusia

Tiga (3) perkara inilah yang menjadikan diri Ayong sebagai "Aku Seorang Agnostik".